Jqaf SK Seri Bertam
Tuesday, 16 April 2013
HUKUM NUN SAKINAH
Bagi Izhar tanda tanwinnya yang berbaris hadapan dalam Rasm Uthmani ialah bertanda 69,manakala tanwin bagi selain
hukum Izhar iaitu Idgham ma'al ghunnah serta idgham bila ghunnah, dan ikhfa' ialah berbentuk 99,tetapi bagi iqlab akan disertakan dengan huruf mim kecil di selepasnya.Bagi tanwin bagi baris hadapan dan bawah bagi Izhar pula ialah berbentuk selari manakala tanwin baris atas dan bawah bagi igham ma'al ghunnah,idgham bila ghunnah dan ikhfa' pula ialah selari tetapi bagi Iqlab pula digantikan mim kecil pada tanwin dengan menjadikannya berbaris atas atau bawah tetapi disertakan mim kecil di selepasnya.Anda boleh merujuk contoh di atas.
KAEDAH IQRA'
Kaedah Iqra’ merupakan satu kaedah yang disusun sebagai satu usaha mengadaptasi atau mengubah suai kaedah lama
(al-Baghdadi) agar dapat mencapai matlamat belajar al-Quran dalam waktu
yang singkat dan cepat. Kaedah Iqra’ atau cara cepat belajar al-Quran
Rasm Uthmani ini berasal dari Indonesia dan mula diperkenalkan pada
tahun 1984 di sebuah taman kanak-kanak al-Quran di kota Gedo,
Jogjakarta. Pengasas kaedah ini ialah al-Marhum Ustaz Haji
As’ad Humam yang mempunyai pengalaman mengajar al-Quran sejak tahun 1950
dan mengasaskan kaedah ini melalui percubaan dan penyelidikan yang
mendalam.
Menurut
Mohd Alwi et.al (2003), setelah lama menggunakan kaedah al-Baghdadi,
Ustaz Hj As’ad kemudiannya beralih pula kepada kaedah Qira’ati selama
tiga tahun, namun beliau dapati ianya masih belum dapat memenuhi
kepentingan pelajarnya dalam pengajian al-Quran. Selain itu, beliau juga
mendapati pihak penyusun Qira’ati itu sendiri kurang memberi sambutan
dan tidak berpegang kuat dengan kaedah yang telah mereka susun, lalu
beliau mengambil inisiatif menyusun sendiri gagasan yang beliau rangka
dengan lebih baik dan sempurna lagi iaitu kaedah Iqra’. Kaedah ini mula
diperkenalkan di Indonesia pada tahun 1988.
Pada
mulanya kaedah Iqra’ ini digunakan dalam Majlis Tadarrus Remaja di
Wilayah Yogjakarta dan sekitarnya iaitu pelaksanaan di masjid-masjid dan
surau seminggu sekali. Lebih 600 Majlis Tadarrus Remaja berjaya
ditubuhkan yang kemudiannya dikembangkan oleh aktivis Tadarrus Remaja
melalui usaha membimbing anak-anak pengajian di kelompok masing-masing.
Hasilnya, terbukti ramai kanak-kanak yang berusia 6 tahun yang diajar
melalui kaedah Iqra’ ini dapat membaca al-Quran.
Jadi, menurut Mohd Alwi et.al (2003), apabila usaha rintis ini telah berjaya membuahkan hasil maka, kaedah Iqra’ ini akhirnya
disebar luaskan penggunaannya ke seluruh Indonesia dan berbagai badan
dakwah serta badan-badan organisasi Islam yang terdapat di sana telah
berjaya mengendalikan kursus kaedah Iqra’ ini. Kejayaan tersebut telah
dapat menarik minat negara-negara jiran yang lain seperti Malaysia,
Singapura, dan Brunei untuk mengambil manfaat dengan kaedah ini. Bahkan
di Malaysia kaedah Iqra’ dijadikan kaedah pengajaran di sekolah-sekolah
rendah di seluruh negara. Begitu juga di Singapura apabila Majlis Ugama
Islam Singapura (MUIS) turut menggunakan kaedah ini di beberapa madrasah
dalam pendidikan agama di sana. Begitulah juga keadaannya di Arab
Saudi, Emeriah Arab Bersatu, Filipina dan Thailand yang telah turut
mengadakan rintis penggunaan kaedah Iqra’ ini di negara masing-masing.
Seterusnya
pihak Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah menguatkuasakan
pengajaran Tilawah al-Quran di sekolah-sekolah rendah supaya menggunakan
kaedah Iqra’ bermula pada sesi persekolahan 1995 yang lalu. Murid-murid
tahun satu dikehendaki mengikuti kelas kemahiran al-Quran selama enam
bulan pertama penggal persekolahan yang pertama. Selain itu, Unit
Pendidikan Islam dan Moral Jabatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah Persekutuan
(MAKDIS) pula telah berusaha menerbitkan modul pengajaran Iqra’ untuk
dijadikan panduan guru-guru bagi menjalankan kaedah ini di sekolah masing-masing.
Buku-buku
Iqra’ disusun untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran al-Quran
dari peringkat pengenalan huruf hijaiyyah hinggalah menguasai tilawah
al-Quran dengan baik dan mengikut hukum tajwid. Ianya telah disusun
dengan mengambil kira keupayaan dan kemampuan murid menguasai asas
kemahiran seperti mengenal, menyebut, mengeja, membaca dan menulis serta
diselitkan juga pelbagai aktiviti yang dapat menarik minat murid
sepanjang enam bulan pertama persekolahan mereka.
Kaedah
ini mengutamakan bimbingan dan latih tubi. Oleh kerana itulah setiap
orang guru hanya akan membimbing 5 atau 6 orang murid sahaja bagi setiap
satu sesi pengajaran yang mengambil masa selama 60 minit. Pendekatan
ini begitu sesuai dijalankan kerana menurut Abdul Halim El-Muhammady (1990),
sekiranya jumlah murid dalam suatu kelas terlalu ramai akan menyebabkan
guru tidak dapat memberi bimbingan berkesan ke atas setiap murid dalam
suatu sesi pengajaran. Kaedah Iqra’ ini dikenal pasti juga sebagai
kaedah yang dapat membantu mempercepatkan kanak-kanak menguasai
kemahiran membaca al-Quran dengan baik melalui 3 peringkat iaitu 1)
Peringkat mengenal huruf, 2) Peringkat mengenal baris dan, 3) Peringkat
membunyikan baris (Mohd Alwi 2003).
PERINGKAT KEMAHIRAN MEMBACA ALQURAN
Kemahiran
membaca al-Quran itu terdiri daripada beberapa peringkat, akan tetapi
menurut pemeringkatan yang umum dan termasyhur, kemahiran bacaan
al-Quran tersebut dibahagikan kepada empat peringkat atau tingkatan
sahaja. Sejajar dengan pendapat yang masyhur di atas, Muhammad al-Sadiq
Qamtahawy (1978) menyebut bahawa peringkat kemahiran membaca al-Quran
tersebut terdiri daripada beberapa peringkat.
Peringkat kemahiran membaca al-Quran yang pertama ialah al-tartil. Bentuk ini merupakan bacaan
al-Quran dilaksanakan dengan sempurna dan perlahan-lahan disertai
dengan sebutan setiap makhraj dengan tepat sesuai dengan hukum dan
sifatnya, juga disertai penghayatan terhadap makna ayat-ayat yang dibaca
dan ianya merupakan bentuk bacaan yang paling afdhal.
Peringkat kemahiran membaca al-Quran yang kedua ialah al-tahqiq. Bentuk bacaan ini hampir sama dengan peringkat al-tartil
tetapi bentuk bacaan dilaksanakan dengan lebih tenang dan
perlahan-perlahan. Ianya untuk membetulkan bacaan makhraj huruf,
menetapkan kadar bacaan mad dan dengung. Bentuk ini bersesuaian dalam
proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) al-Quran khususnya individu
yang baru mempelajari al-Quran supaya dapat melatih lidah menyebut
huruf dan sifat huruf dengan tepat dan betul.
Peringkat kemahiran membaca al-Quran yang ketiga ialah al-hadr.
Bentuk bacaan al-Quran ini dilaksanakan dengan cepat akan tetapi masih
tetap memerhati dan memelihara hukum-hukum tajwid bacaan al-Quran.
Bentuk bacaan ini biasanya dilakukan oleh individu yang telah menghafal
al-Quran supaya dapat mengulangi bacaannya dalam masa yang singkat.
Peringkat kemahiran membaca al-Quran yang terakhir ialah al-tadwir. Bentuk bacaan al-Quran yang pertengahan atau sederhana ini, dilaksanakan dengan sifat pertengahan antara bentuk al-tartil dengan al-hadr serta tetap memelihara hukum-hukum tajwidnya.
KAEDAH ASAS P&P TILAWAH ALQURAN
Menurut
Norasikin Fabil et.al (2005), anjakan paradigma yang membawa kepada
perubahan corak hidup, konsep daya gaya penghidupan tidak mengubah
keperluan manusia kepada al-Quran. Ini kerana al-Quran merupakan
asas dalam kehidupan seseorang muslim terutama dalam pendidikan.
Pembelajaran al-Quran dan tajwid dilaksanakan dalam institusi formal
atau tidak formal dengan menggunakan pelbagai kaedah.
Pemilihan
kaedah yang bersesuaian merupakan aspek yang penting dalam pengajaran
al-Quran. Faktor-faktor seperti kemampuan pelajar, kesediaan guru,
kelenturan dan susun atur sesuatu kaedah yang digunakan memainkan
peranan penting dalam menentukan kejayaan pengajaran bacaan al-Quran di
samping jangka masa pengajian juga turut menjadi faktor pemilihan
sesuatu kaedah terutamanya pada zaman teknologi yang kian pesat kini
(Adel et.al 2006).
Menurut
Maimun Aqsha dan Roslan (2005) lagi, keberkesanan kaedah mengajar dan
jalinan hubungan yang mesra di antara guru dan pelajar dari peringkat
rendah sehingga peringkat tinggi menjadi penting agar penyampaian
pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih tersusun serta
memudahkan pencapaian matlamat yang telah ditetapkan.
Kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran Al-Quran
Pengajaran dan Pembelajaran tilawah al-Quran menurut Mohd Yusof (2000), Ghazali 1997) dan Ahmad (1997) dalam (Kamarul Azmi & Ab. Halim 2007) boleh diajar dengan :
a. Membaca ayat dan surah secara tartil
b. Mendengar bacaan rakaman
c. Membaca secara senyap
d. Membaca menurut nombor ayat
e. Membaca tidak menurut nombor ayat
f. Memerhati serta menyebut kalimah baru.
Selain itu, beberapa kaedah P & P berkesan untuk pengajaran dan pembelajaran Tilawah al-Quran antaranya (Ab.Halim Tamuri 2004):
· Tilawah al-Quran ;
a. Kuliah atau penerangan
b. Tasmi’ dan Tashih
c. Bacaan beramai-ramai
d. Latih tubi
e. Perbincangan
f. Talaqqi dan Musyafahah
g. Halaqah dan tadarus
· Kefahaman al-Quran ;
a. Bersoal jawab
b. Membaca mafhum ayat
c. Kuliah atau penerangan
d. Perbincangan kumpulan
e. Membaca ayat kefahaman
f. Bercerita
g. Kajian perpustakaan
· Hafazan al-Quran ;
a. Latih tubi menghafaz
b. Memperdengarkan bacaan ayat
c. Talaqqi dan musyafahah
d. Murid menghafaz secara individu
e. Murid menghafaz dalam kumpulan
f. Murid membaca beramai-ramai
Pendekatan dan Cadangan Proses P & P Tilawah al-Quran (Kamarul Azmi & Ab. Halim 2007)
a. Menggunakan ICT
b. Pembelajaran Pengaturan Kendiri
c. Pembelajaran aktif
d. Pembelajaran berasaskan masjid
e. Pembudayaan penyelidikan
Tidak
dapat dinafikan bahawa pemilihan kaedah yang bersesuaian merupakan
aspek penting dalam pengajaran bacaan al-Quran. Faktor-faktor seperti
kemampuan pelajar, persediaan guru, kelenturan dan susun atur sesuatu
kaedah yang digunakan memainkan peranan dalam menentukan kejayaan
pengajaran bacaan al-Quran. Jangka masa pengajian yang disasarkan juga
turut menjadi faktor pemilihan sesuatu kaedah dan adakalanya terdapat
juga usaha pengubahsuaian dan penerapan terhadap sistem pengajian yang
akhirnya melahirkan beberapa kaedah baru (Adel et.al 2006).
Menurut Mohd
Faisal Mohamed et.al (2008) untuk mendapatkan hasil yang baik dalam
semua perkara yang dilakukan, haruslah melalui langkah-langkah, teknik
dan tatacara yang sesuai. Begitu juga dalam pengajaran dan pembelajaran,
ia memerlukan kaedah dan teknik yang sesuai untuk mendapatkan kesan
yang lebih mantap. Oleh sebab itu juga, seseorang yang ingin menguasai
kemahiran membaca al-Quran perlu mempelajari dan menjalani
latihan-latihan bacaan mengikut cara yang betul.
Subscribe to:
Posts (Atom)