Kaedah Iqra’ merupakan satu kaedah yang disusun sebagai satu usaha mengadaptasi atau mengubah suai kaedah lama
(al-Baghdadi) agar dapat mencapai matlamat belajar al-Quran dalam waktu
yang singkat dan cepat. Kaedah Iqra’ atau cara cepat belajar al-Quran
Rasm Uthmani ini berasal dari Indonesia dan mula diperkenalkan pada
tahun 1984 di sebuah taman kanak-kanak al-Quran di kota Gedo,
Jogjakarta. Pengasas kaedah ini ialah al-Marhum Ustaz Haji
As’ad Humam yang mempunyai pengalaman mengajar al-Quran sejak tahun 1950
dan mengasaskan kaedah ini melalui percubaan dan penyelidikan yang
mendalam.
Menurut
Mohd Alwi et.al (2003), setelah lama menggunakan kaedah al-Baghdadi,
Ustaz Hj As’ad kemudiannya beralih pula kepada kaedah Qira’ati selama
tiga tahun, namun beliau dapati ianya masih belum dapat memenuhi
kepentingan pelajarnya dalam pengajian al-Quran. Selain itu, beliau juga
mendapati pihak penyusun Qira’ati itu sendiri kurang memberi sambutan
dan tidak berpegang kuat dengan kaedah yang telah mereka susun, lalu
beliau mengambil inisiatif menyusun sendiri gagasan yang beliau rangka
dengan lebih baik dan sempurna lagi iaitu kaedah Iqra’. Kaedah ini mula
diperkenalkan di Indonesia pada tahun 1988.
Pada
mulanya kaedah Iqra’ ini digunakan dalam Majlis Tadarrus Remaja di
Wilayah Yogjakarta dan sekitarnya iaitu pelaksanaan di masjid-masjid dan
surau seminggu sekali. Lebih 600 Majlis Tadarrus Remaja berjaya
ditubuhkan yang kemudiannya dikembangkan oleh aktivis Tadarrus Remaja
melalui usaha membimbing anak-anak pengajian di kelompok masing-masing.
Hasilnya, terbukti ramai kanak-kanak yang berusia 6 tahun yang diajar
melalui kaedah Iqra’ ini dapat membaca al-Quran.
Jadi, menurut Mohd Alwi et.al (2003), apabila usaha rintis ini telah berjaya membuahkan hasil maka, kaedah Iqra’ ini akhirnya
disebar luaskan penggunaannya ke seluruh Indonesia dan berbagai badan
dakwah serta badan-badan organisasi Islam yang terdapat di sana telah
berjaya mengendalikan kursus kaedah Iqra’ ini. Kejayaan tersebut telah
dapat menarik minat negara-negara jiran yang lain seperti Malaysia,
Singapura, dan Brunei untuk mengambil manfaat dengan kaedah ini. Bahkan
di Malaysia kaedah Iqra’ dijadikan kaedah pengajaran di sekolah-sekolah
rendah di seluruh negara. Begitu juga di Singapura apabila Majlis Ugama
Islam Singapura (MUIS) turut menggunakan kaedah ini di beberapa madrasah
dalam pendidikan agama di sana. Begitulah juga keadaannya di Arab
Saudi, Emeriah Arab Bersatu, Filipina dan Thailand yang telah turut
mengadakan rintis penggunaan kaedah Iqra’ ini di negara masing-masing.
Seterusnya
pihak Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah menguatkuasakan
pengajaran Tilawah al-Quran di sekolah-sekolah rendah supaya menggunakan
kaedah Iqra’ bermula pada sesi persekolahan 1995 yang lalu. Murid-murid
tahun satu dikehendaki mengikuti kelas kemahiran al-Quran selama enam
bulan pertama penggal persekolahan yang pertama. Selain itu, Unit
Pendidikan Islam dan Moral Jabatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah Persekutuan
(MAKDIS) pula telah berusaha menerbitkan modul pengajaran Iqra’ untuk
dijadikan panduan guru-guru bagi menjalankan kaedah ini di sekolah masing-masing.
Buku-buku
Iqra’ disusun untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran al-Quran
dari peringkat pengenalan huruf hijaiyyah hinggalah menguasai tilawah
al-Quran dengan baik dan mengikut hukum tajwid. Ianya telah disusun
dengan mengambil kira keupayaan dan kemampuan murid menguasai asas
kemahiran seperti mengenal, menyebut, mengeja, membaca dan menulis serta
diselitkan juga pelbagai aktiviti yang dapat menarik minat murid
sepanjang enam bulan pertama persekolahan mereka.
Kaedah
ini mengutamakan bimbingan dan latih tubi. Oleh kerana itulah setiap
orang guru hanya akan membimbing 5 atau 6 orang murid sahaja bagi setiap
satu sesi pengajaran yang mengambil masa selama 60 minit. Pendekatan
ini begitu sesuai dijalankan kerana menurut Abdul Halim El-Muhammady (1990),
sekiranya jumlah murid dalam suatu kelas terlalu ramai akan menyebabkan
guru tidak dapat memberi bimbingan berkesan ke atas setiap murid dalam
suatu sesi pengajaran. Kaedah Iqra’ ini dikenal pasti juga sebagai
kaedah yang dapat membantu mempercepatkan kanak-kanak menguasai
kemahiran membaca al-Quran dengan baik melalui 3 peringkat iaitu 1)
Peringkat mengenal huruf, 2) Peringkat mengenal baris dan, 3) Peringkat
membunyikan baris (Mohd Alwi 2003).
No comments:
Post a Comment